Managing Director Statement

Managing Director Statement

 


PERUTUSAN TAHUN 2021 PENGARAH URUSAN 

Bismillahirrahmannirrahim
Assalammualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh.
Syukur ke hadrat Allah S.W.T atas segala nikmat dah rahmatNya kepada saya dan seluruh warga kerja KDEB Waste Management.

Pada kesempatan ini, terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2021 kepada semua warga kerja KDEB Waste Management di bahagian pengurusan dan juga operasi yang berkhidmat di seluruh 12 PBT di Negeri Selangor.

Saya juga ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga kerja, para subkontrakor, pemandu lori serta petugas pembersihan yang telah melaksanakan tugas dengan cemerlang sepanjang tahun 2020. Terima kasih kepada semua rakyat negeri Selangor yang sentiasa bekerjasama dan menyokong KDEBWM dalam menguruskan sisa pepejal di negeri Selangor. Sesungguhnya kita semua mempunyai komitmen yang amat tinggi dalam menjalankan tugas dan amanah rakyat dalam menguruskan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di Negeri Selangor. Tahniah dan syabas saya ucapkan.

Mengenai Covid-19
Kita semua dikejutkan dengan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara kita bermula pada awal tahun sehingga ke hari ini. Pelbagai rintangan dan cabaran yang terpaksa dihadapi terutamanya melibatkan sektor ekonomi dan sosial bukan sahaja di dalam negara tetapi di seluruh dunia. Beberapa langkah-langkah drastik terpaksa dilaksanakan dalam membendung penularan wabak ini antaranya termasuk Perintah Kawalan Pergerakan.

Pengurusan perkhidmatan sisa pepejal merupakan antara sektor perkhidmatan perlu yang terpaksa berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan. Bermula Mac 2020 sehingga ke hari ini, kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam dijalankan seperti biasa mengikut jadual kerja yang telah ditetapkan di semua kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Selangor.

Pelbagai cabaran dihadapi dalam menguruskan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam terutamanya di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Selain daripada memastikan segala Standard Operation Procedure (SOP) dipatuhi, petugas pembersihan serta penyelia berdepan kesukaran dalam melaksanakan perkhidmatan di kawasan tersebut seperti kesukaran menjalankan kutipan dan pembersihan serta ancaman kesihatan.

Saya ingin sekali lagi mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga kerja yang terus memberikan komitmen dan menjalankan amanah dengan baik sehingga ke hari ini walaupun risiko jangkitan wabak adalah tinggi. Penat lelah dan pengorbanan anda bukan sahaja sebagai tuntutan kerja tetapi juga memastikan masyarakat khususnya di negeri Selangor terlindung daripada persekitaran yang kotor dan mengancam kesihatan. Andalah hero-hero KDEBWM yang tidak didendang tetapi tugas yang diamanahkan adalah sangat mulia.

Pencapaian
Tahun 2020 tidak lama lagi akan melabuhkan tirainya. Pelbagai kisah, peristiwa, cabaran dan sejarah telah terakam sepanjang tahun 2020. Menyingkap kejayaan di tahun 2020, saya ingin berkongsi beberapa kisah kejayaan oleh KDEBWM yang boleh dibanggakan dan dijadikan pembakar semangat oleh kita semua untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang.

Pertama sekali, tahun 2020 telah menyaksikan pengambilalihan sepenuhnya perkhidmatan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri Selangor oleh KDEBWM. Bermula dengan pilot project di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Klang pada tahun 2016, dan seterusnya secara berperingkat sehinggalah yang terakhir iaitu di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam.

Pada tahun ini juga, Majlis Perbandaran Kuala Langat telah menyerahkan tanggungjawab perkhidmatan kutipan sisa pepejal Industri di kawasan pentadbiran MPKL kepada KDEBWM. Ini membuktikan KDEBWM berjaya menguruskan perkhidmatan sisa pepejal dan pembersihan awam dengan cemerlang dan bersedia untuk memberikan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam bagi Industri, Komersial dan Institusi di kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan yang lain.

Seterusnya, KDEBWM juga sekali lagi mendapat pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa dengan dianugerahkan Anugerah Amalan Baik Asia Pasifik Frost & Sullivan 2020 bagi kategori “Smart Waste Solutions Company of The Year”. Anugerah yang telah dimenangi selama tiga tahun berturut-turut oleh Frost and Sullivan adalah satu pengiktirifan yang sangat bermakna oleh Syarikat Perundingan Antarabangsa. KDEBWM juga telah diiktiraf oleh International Business Review dimana KDEBWM dianugerahkan Anugerah IBR 2020 bagi kategori Kecermelangan Korporat dalam Sektor Utiliti.

Bukan itu sahaja, tahun ini juga kita telah melengkapkan keseluruhan pensijilan International Organisation for Standardisation (ISO) dengan versi piawaian terkini 9001:2015 dan 14001:2015 bagi pengurusan kualiti dan alam sekitar bagi semua operasi cawangan KDEBWM di negeri Selangor. Pensijilan ini jelas menunjukkan bahawa kita telah berjaya menjalankan tanggungjawab dan amanah selama lima tahun ini dengan baik sebagai sebuah syarikat pengurusan sisa pepejal pintar di Selangor.

Kejayaan-kejayaan yang dikecapi ini membuktikan bahawa KDEBWM dan Kerajaan Negeri berjaya mengurus perkhidmatan sisa pepejal dan pembersihan awam di Selangor dengan efisien dan cemerlang.

Inisatif
Bagi tahun 2020, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi menambah baik pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri Selangor oleh pihak Syarikat antaranya melalui penekanan kepada usaha kitar semula. Selain Pusat Kitar Semula yang telah dibangunkan oleh KDEB Waste Management di kawasan Perindustrian Meru di Klang, Selangor, KDEBWM juga telah menjalankan usahasama bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Subang Jaya melalui pembangunan Tapak Pusat Kitar Semula di Puchong.

Selain itu, KDEBWM juga telah menjalinkan kerjasama bersama sebuah universiti tempatan iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dengan menjalankan perbincangan bagi beberapa perancangan projek antaranya mengenai aktiviti kitar semula di Selangor. Ini adalah satu kerjasama KDEBWM sebagai salah satu Panel Industri kepada Fakulti Kejuteraan Awam di universiti tersebut dimana jelas menunjukkan bahawa perkhidmatan KDEBWM tidak tertumpu kepada kutipan sampah domestik dan pembersihan awam sahaja.

KDEBWM juga telah memulakan penggunaan plastik biodegredasi mudah urai dan lupus untuk digunapakai oleh para subkontraktor pembersihan awam. Pelaksanaan diperingkat awal telah dimulakan di beberapa kawasan Klang, Selayang, Ampang Jaya dan Subang Jaya. Penggunaan plastik biodegredasi adalah bagus kepada alam sekitar dimana plastik ini mengambil masa yang singkat untuk terurai, tidak bertoksik dan lebih mudah untuk kitar semula.

Penggunaan dan penambahan jentera baru Truck Mounted Catch Basin Cleaner dan Truck Mounted High-Pressure Water Jetter juga telah digunapakai pada tahun ini. Kedua-dua jentea ini telah pun digunakan secara optimum dimana ianya sangat efisien dalam melancarkan aktiviti pembersihan longkang di kawasan-kawasan komersial, perumahan dan sebagainya. Jentera-jentera ini sedikit sebanyak berjaya meningkatkan perkhidmatan pembersihan awam yang kita jalankan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan di negeri Selangor.

CSR dan Program Kesedaran
Sebagai sebuah syarikat korporat, KDEBWM juga bertanggungjawab dalam melaksanakan peranan sosial dan bukan hanya berdasarkan perkhidmatan semata-mata. Saya bersyukur, pada tahun ini kita telah melaksanakan sejumlah besar Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dalam memberikan bantuan khususnya kepada rakyat. Sebanyak RM 344 ribu telah digunakan bagi sumbangan Tanggungjawab Sosial Syarikat untuk tahun ini bagi membantu golongan Asnaf, Orang Kurang Upaya, badan-badan kebajikan, keagaman, sekolah-sekolah bagi pendidikan dan sebagainya.

Antara program CSR yang berjaya dilaksanakan adalah Sumbangan Covid-19 dimana pihak Syarikat dan warga kerja telah berjaya mengumpul dana kewangan bagi membeli keperluan asas kepada mereka yang terjejas ekoran wabak Covid-19.

Sejumlah RM159,000 juga telah dibelanjakan bagi sumbangan dan penyediaan pelbagai jenis tong sampah iaitu tong jenis MGB, tong kitar semula serta Leach Bin. Sebanyak 835 unit tong sampah telah disumbangkan oleh KDEBWM kepada pihak-pihak yang memerlukan di negeri Selangor. Sumbangan tong MGB dan Leach Bin ini bukan sahaja dapat menggantikan tong sampah yang telah rosak sekaligus dapat membantu proses pembuangan sampah domestik lebih bersih dan teratur oleh penduduk. Manakala, sumbangan tong sampah kitar semula pula bertujuan untuk menggalakkan amalan kitar semula di kalangan penduduk dan masyarakat dan menyokong usaha penduduk dalam menyahut kempen kitar semula di kawasan kediaman

KDEBWM juga telah bersama-sama dengan organisasi luar termasuk sekolah-sekolah dalam memperkasakan aktiviti-aktiviti kitar semula di peringkat awal melalui kempen kitar semula. Kita telah menyumbang beberapa tong kitar semula kepada sekolah-sekolah agar para pelajar dapat menjalankan aktiviti kitar semula dan sedar akan kepentingan kitar semula selain menerapkan tentang cara-cara pembuangan sampah dengan betul.

Selain itu, KDEBWM juga telah bekerjasama dengan PBT dengan memberi sokongan dan bantuan dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh mereka antaranya termasuk kerja-kerja sanitasi awam, program gotong- royong, pembasmian kawasan sampah haram, pembersihan semasa dan selepas bencana banjir dan berbagai lagi.

Sumbangan serta Tanggungjawab Sosial Korporat ini diharap dapat membantu mereka yang memerlukan dan saya mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan ribuan terima kasih kepada semua warga kerja yang terlah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memberikan sumbangan dan bantuan sepanjang tahun yang mencabar ini. Semoga sumbangan, bantuan dan usaha kita ini dapat membantu mereka yang memerlukan dan mendapat keberkatan dari Allah SWT.

Pembangunan Modal Insan
Dalam menjalankan operasi harian, KDEBWM percaya bahawa pembangunan modal insan adalah sangat penting kerana ia memberi sumbangan yang amat besar kepada kemajuan dan pembangunan syarikat. Oleh yang demikian, pihak Syarikat telah menbelanjakan sejumlah dana bagi tujuan latihan kepada warga kerja.

Ini kerana latihan semasa kerja adalah penting bagi melahirkan pekerja yang memiliki kemahiran yang bersesuaian demi meningkatkan lagi produktiviti serta daya saing mereka dalam syarikat.

Latihan berbentuk soft skill dan hard skill telah dijalankan dan setiap warga kerja telah menjalani latihan-latihan yang bersesuaian dalam meningkatkan produktiviti, pembelajaran serta kemahiran mereka. KDEBWM akan terus merangka pelbagai strategi dan latihan bagi memantapkan prestasi warga kerja pada pelbagai peringkat pada tahun akan datang.

Perancangan Masa Hadapan
Beberapa perancangan telah pun kita rancang dan kenal pasti dalam menambah baik serta mengembangkan perniagaan Syarikat pada masa akan datang. Pertama, KDEBWM telah pun diberi mandat oleh Kerajaan Negeri untuk membangunkan Waste-To-Energy Plant (WTE) di negeri Selangor. Pihak Syarikat telah mengatur proses tender dan menyenarai pendek beberapa syarikat tempatan dan antarabangsa untuk mengemukakan kertas kerja bagi projek ini. Pembinaan WTE ini bukan sahaja meningkatkan kadar kitar semula malahan satu kaedah pengurusan sisa yang holistik untuk rawatan sisa pepejal. Saya yakin kita dapat membina WTE ini di Selangor sekaligus dapat menguruskan pelupusan sampah secara pintar dan mesra alam.

Seterusnya, KDEBWM juga dalam proses menjalankan teknologi penggunaan sensor di tong sampah dengan objektif untuk mengesan tahap pengisian sampah khususnya di kawasan hotspot dan terpencil. Teknologi ini dapat memudahkan urusan kutipan sampah dilakukan dengan lebih efisien, menjimatkan masa dan mengelakkan berlakunya longgokan sampah.

KDEBWM juga telah dijemput untuk mengambil bahagian dalam proses tender bagi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di salah satu negara di Asia Tenggara dan juga di negeri-negeri lain di Malaysia. Seperti yang telah saya katakan sebelum ini, KDEBWM adalah lebih dari bersedia untuk menawarkan perkhidmatan menguruskan pengurusan sisa pepejal di negeri-negeri lain dan serta di peringkat antarabangsa jika diperlukan. Saya percaya kita mampu mengembangkan sayap perkhidmatan jika diberikan peluang.

Amanat 2021
Tentunya kejayaan-kejayaan perniagaan yang dicipta ini tidak mungkin berhasil tanpa usaha gigih dan komitmen dari warga kerja KDEB Waste Management dan para subkontrator. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’Seri AMirudin Shari, barisan EXCO Kerajaan Negeri, Menteri Besar Selangor Incoporated (MBI) dan semua rakyat negeri Selangor di atas kepercayaan kepada KDEBWM.

Sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada semua warga kerja KDEBWM atas segala pencapaian yang kita telah kecapi dan saya berharap agak semua warga kerja dapat menjadikan kejayaan-kejayaan ini sebagai titik tolak untuk kita terus berusaha untuk memacu nama KDEBWM dengan lebih terkemuka tidak hanya di dalam negara malah di persada antarabangsa.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua warga kerja untuk menjalani kehidupan norma baru dengan dengan sentiasa mengamalkan SOP kendiri yang telah disarankan kerajaan untuk kesejahteraan bersama. Semoga waktu waktu pandemik yang dilalui oleh hampir seluruh dunia ketika ini akan segera berakhir dan kita dapat menjalani kehidupan bersama keluarga dengan rasa selamat.

Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2021 kepada semua warga kerja dan seluruh rakyat Selangor. Semoga KDEB Waste Management terus maju dan menjadi pemangkin kepada Selangor sebagai Negeri Pintar 2025.

Sekian, Terima kasih. Wassalam

“Together We Keep Selangor Clean”
RAMLI MOHD TAHIR
Pengarah Urusan